Thursday 16 January 2014

MENYONGSONG ARUS





Alhamdulillah hari ini masih diberi peluang oleh Allah untuk kita semua menjalani kehidupan di dunia ini dalam keadaan yang aman dan tenteram.. Meskipun ada saudara kita yang sedang memperjuangkan tanah air..  Sama-samalah kita berdoa untuk mereka... Hari ini selepas pulang dari sekolah saya duduk termenung dan memikirkan jalan hidup sendiri dan apa terlintas di fikiran kenapakah kita ini hidup terlalu mengikut arus... Sedarkah kita bahawa kita ini telah di jajah pemikirannya... Sesetengahnya yang terlalu mengikut arus kemodenan , terlalu mengejar kekayaan... Pernahkah kita terfikir untuk Menyongsong Arus.. Dalam masa itu juga saya teringat sajak ini... Sajak ini dapat memberikan motivasi..:)


MENYONGSONG ARUS
(mengenang BAHAMAN dan MAT KILAU)
KEMALA

Sesekali arus wajar kusongsong
kalau tidak aku akan tetap mendap di kuala
di hulu sungai ada negeri sejuta tahun
beribu pohon belum disentuh
sejuta erang cengkerik di liang-liangnya
aroma daun dibasahi embun
gadis sunti menjabat puyuh di kaki gunung
"tak kulihat bayang pengembara jauh
menyelam di jeram dugaan
tak kutatap sayang meranum
dan berahiku gigil sendiri"
selasih di genggaman 
dan kasih di pautan.

Sesekali arus kusongsong 
untuk kukenal wajah kilatan maut
ambil cemuh, simpan di peti-peti besi
menunda-nunda serapah tuk batin
jejak pendekar padam sudah
batu-batu dihakis sejarah
seribu kerikil dengan gigi tajamnya
menyeringai menepis gerimis
"dialah yang melandai tubuhku
dentum peluru sepoi Inggeris
meringgis kulit, hanya desis
menyibak kebal embun tujuh subuh
dia berlalu meninggal bayang
tak berwajah, hanya dentuman

menerjah cengal, membalik
berdebur ke sungai
penuntun mata angin
taufan dalam diri
serigala mengilau di mata
"nyeberang kuala trenggan!"

Sesekali arus wajar kusongsong
merempuh jeram
batu-batu hidup, angin berdarah
membawa alamat
"masih  belum kiamat, dik
kau tiba pada senja
lewat seribu musim
aku menggenggam keris lok tujuh
kau menggumam pantun
dan gurindam. Namun
masih kita punya satu ibu!"

Sesekali arus wajar kusongsong
untuk kembalikan kilat diri
ke padang sasar sejarah.
Untuk mencium bau merbau dan keruing
dan terjemahkan
rintih sejuta cengkerik
di liang-liang rumahnya
di hutan purbawi ini.

Ada cermin
di dasar kali
ada amin
di dasar hati
menyongsong kali
menyongsong diri.


Kuala Tahan
Taman Negara


Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Jun 2005



Maksud Sajak 

Rangkap 1
Sesekali penyajak berpendapat seseorang itu perlu menjadi pihak yang bertentangan arah. Jika tidak, mungkin kita akan berada ditakuk lama dan tidak berubah (jumud). Sesekali kita perlu meredah kepayahan dan  berjuang.

Rangkap 2
Apabila kita berubah arah (pendapat), kita akan dapat mendengar cacian manusia yang selama ini diam tidak berkata apa-apa. Malah akan terbongkar sikap buruk sebenar pihak penjajah dan penguasa yang sebenarnya bersifat bengis dan zalim.

Rangkap 3
Terserlahlah segala sikap dan keburukan diri .

Rangkap 4
Sesekali kita perlu melawan arah dan berani meredah kepayahan. Pejuang dahulu berjuang dengan senjata tetapi kita kini berjuang melawan arah hanya dengan bahasa penulisan yang penuh dengan kiasan. Tetapi matlamat perjuangan tetap sama seperti pejuang dahulu.

Rangkap 5
Kita memang perlu melawan arus sekali sekala kerana ia boleh mendidik diri kita mengerti tentang sejarah lama. Kita akan dapat merasakan kepedihan dan kesusahan lampau. Kemudian kita dapat terjemahkan kisah kehidupan lampau itu.

Rangkap 6
Penyajak menyatakan bahawa terdapat pedoman tanda dan harapan yang positif apabila menyongsong arus. 

Thursday 9 January 2014

SOLAT SUNAT ISTIKHARAH




Solat Sunat Istikharah

Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan memutuskan mana yang terbaik diantara dua perkara yang diragukan. Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, contohnya: apakah aku harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan keburukannya.
Oleh yang demikian, hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang mengambil keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.
Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut. Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.
Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.


Tata Cara Solat Istikharah

Tata cara solat istikharah lebih kurang sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang berlainan, iaitu berniat solat istikharah. dilaksanakan sebelum tidur ataupun setelah bangun tidur. Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusyuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah. Solat ini sangat peribadi sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Solat ini tidak memakai azan atau iqamah.

1) Lafaz niat :






Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala


Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah 2 rakaat tunai kerana Allah Ta’ala

2) Rakaat pertama :

Baca surah Al-fatihah dan surah Al-kafirun (1 kali)
                                          atau
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-Kursi (7 kali).

BISMILLAAHIR-RAHMAANIR-RAHIIM

1) QUL YAA AYYUHAL KAAFIRUUN


2) LAA A'BUDU MAA TA'BUDUUN



3) WA LAA ANTUM AABIDUUNA MAA A'BUD



4) WA LAA ANA AABIDUN MAA ABADTUM



5) WA LAA ANTUM ABIDUUNA MAA A'BUD


3) Rakaat kedua : 

Baca surah Al-fatihah dan surah Al-ikhlas(1 kali)
                                          atau
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-Ikhlas (11 kali).


BISMILLAAHIR-RAHMAANIR-RAHIIM
1) QUL HUWALLAAHU AHAD

2) ALLAAHUS-SAMAD

3) LAM YALID WA LAM YUULAD

4) WA LAM YAKUN LAHU KUFUAN AHAD

3) Dalam sujud akhir, baca tasbih berikut sebanyak 40 kali:






Maha Suci Dikau yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang Dikau ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya Dikau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!
Sebelum bangkit dari sujud, mohonlah kepada Allah SWT. dipertunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan dan pilihan.
Selesai memberi salam, bacalah selawat untuk dihadiahkan kepada Rasulullah S.A.W, para sahabat Baginda, para wali Allah dan seluruh umat Islam.

4) Doa istikharah : 



Setelah selesai solat, berdoa seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:

doa-istikhaerah

Allaahumma inni astakhiiruka bi’ilmika, wa astaqdiruka biqudratika wa as aluka min fadhlikal azhiim. Fa innaka taqdiru wa laa aqdiru, wata’lamu wa laa a’lamu, wa anta allaamul ghuyuub.
Allaahumma inkunta ta’lamu anna haadzal amra(**********) khairun lii fii diinii wama’aasyii wa ‘aaqibati amrii, ‘aajili amrii faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarikliifiihi. Wa inkunta ta’lamu anna haadzal amra(**********) syarrun lii fii diinii wa ma’aasyii wa ‘aaqibatu amrii ‘aajili amrii fashrif annii washrifni ‘anhu waqdur liyal khairahaytsu kaana tsumma ardhinii bihi, innaka ‘alaa kulli syai-in qadiir...
Ertinya : 
“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.
Ya Allah, jika hal ini (**********) dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya.
Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (**********) akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

5) Ulangilah doa tersebut sebanyak 3 kali. Dalam berdoa sebaik-baiknya sebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah SWT. misalnya: “Ya Allah! Jika Dikau mengetahui urusan ini..….. (sebutkan perkaranya).” 
6) Serahkanlah sepenuh keyakinan kepada Allah SWT. sambil bermohon kepada-Nya agar diberikan petunjuk, sama ada didatangkan melalui mimpi, gerak hati atau dengan dipermudahkan urusan yang mana baik. Tidurlah dalam keadaan berwuduk dan berpakaian bersih.
7) Lakukan solat Istikharah 3 atau 7 hari berturut-turut, mengikut kepentingannya. Insya-Allah akan diberi kecenderungan atau digerakkan hati untuk membuat sesuatu keputusan atau pilihan yang betul.


Sultan Mahmud Syah










Kota Tinggi, Johor. 1699




Lanun bermaharajalela....! Dari arah Sedili Besar hingga ke kepulauan Riau dan Pulau Penyegat, seluruh perairan Johor di kuasai oleh lanun. Kapal-kapal perdagangan begitu gusar untuk memasuki pelabuhan Johor kerana bimbang diserang mereka. Tak kurang juga penduduk-penduduk setempat yang tinggal disepanjang pantai kawasan tersebut. Sudah berapa lama nelayan bimbang untuk keluar ke laut. Keadaan terlalu menakutkan...Tapi tidak di Kota Tinggi. Pusat kerajaan Johor Lama. Terlalu gagah pertahanannya, dibawah kawalan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Temenggung. Dan perlindungan yang begitu rapi ini membuatkan Sultannya yang masih muda berasa sangat selamat-Sultan Mahmud Syah II.

Pahlawannya pula sangat berwibawa dan bersedia untuk mengorbankan diri demi Sultannya pada bila-bila masa. Antaranya Laksamana Megat Seri Rama, laksamana muda yang datang ke Kota Tinggi dari sebuah wilayah jauh di selatan Kerajaan Johor, Pulau Bentan. Dan juga kerana tempat asalnya itu, beliau digelar Laksamana Bentan. Laksamana Bentan mendapat tempat yang istimewa di mata Sultan Mahmud kerana jasa-jasanya mempertahankan negeri dari ancaman musuh. Kerana itu Laksamana muda itu begitu cepat mencapai kedudukannya sekarang. Namun, sudah menjadi adat dalam masyarakat melayu, kadang-kadang kejayaan seseorang itu, selain dari memberi kegembiraan dan kebanggaan, turut mengundang hasad dengki kepada orang lain. Orang itu adalah Tun Bija Ali!

Sudah terlalu lama Tun Bija Ali berkhidmat kepada Kerajaan Johor, sejak dari zaman Almarhum ayahanda Sultan Mahmud hinggalah sekarang, masih belum mendapat perhatian dari Sultan. Tambahan kehadiran Laksamana baru itu, kini, Baginda Sultan seakan endah tak endah akan dirinya. Hati siapa tidakkan sakit?

Sakit hatinya bertambah-tambah lagi apabila Laksamana Bentan itu berjaya memiliki seorang dara yang juga ingin dimilikinya, Wan Anum. Gadis itu memang digilainya sejak kali pertama gadis itu menjejakkan kaki ke Kota Tinggi, setelah kematian ibu dan ayahnya dibunuh lanun di Mersing. Dia diselamatkan oleh Laksamana Megat Seri Rama dari tangkapan lanun tersebut sedikit masa dahulu dan dibawa ke Kota Tinggi untuk tinggal bersama datuk dan neneknya, Pak Mahad di Kota Tinggi. Sejak itu Wan Anum berkenan dengan Laksamana yang muda itu, dan ternyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Dan Laksamana Megat Seri Rama mengambil keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri, memandangkan Wan Anum seorang yatim piatu dan tambahan pula gadis itu amat luar biasa, lemah lembut dan cantik pula. Berkahwinlah mereka berdua dan tidak lama lagi pasangan muda itu bakal menimang cahaya mata. Wan Anum kini sedang berbadan dua dan hanya selang sebulan dua untuk menimang cahaya mata sulung.

Namun keadaan tidak selalunya seperti diharapkan. Harapan Wan Anum untuk bersama suami tercinta apabila dia melahirkan anaknya nanti tidak kesampaian. Baginda Sultan telah mengeluarkan perintah yang bahawa Laksamana Megat Seri Rama perlu mengetuai angkatan tentera Johor menentang lanun sekali lagi. Keadaan ancaman lanun lebih hebat kali ini dan ini memaksa Laksamana tidak lagi dapat menangguhkan lagi perintah baginda, walau bagaimana sekalipun beliau bimbangkan keadaan isteri tercinta. Dan Wan Anum perlu memahami keadaan tugas suaminya dan itu janji pada dirinya sejak dari hari pertama dia menerima lamaran Laksamana muda itu. Demi negara, dia rela, dan ini pun demi keselamatan dirinya juga. Dengan berat hati Wan Anum melepaskan Laksamana Megat Seri Rama pergi menjalankan tugas dilautan. Sepeninggalannya, Laksamana Megat Seri Rama mengamanahkan sahabat baiknya Tun Aman dan kakaknya Tun Khatijah menjaga isterinya Wan Anum.
Namun seseorang sedang memerhatikan peluang ini sebagai peluang yang amat menguntungkan. Keadaan Wan anum yang seorang diri tanpa suami disisi, akan dipergunakan sebaiknya, paling tidak untuk merasai wanita yang dulu pernah terlepas dari genggaman itu. Pada suatu malam, Tun Bija Ali menyusup masuk ke rumah Laksamana yang pada waktu itu Wan Anum sedang keseorangan. Wan Anum yang terperanjat tapi tidak mudah melatah. sekalipun berbadan dua, dia mencuba sedaya upaya menentang akan pencerobohan biadap Tun Bija Ali itu. Dan kegagalan itu membuatkan Tun Bija Ali tidak senang duduk. Bagaimana jika rahsia itu pecah dan sampai ke pengetahuan Laksamana? Pastinya Laksamana akan mengambil tindakan dan membunuhnya....jadi sebelum Laksamana bertindak keatasnya, biar dia bertindak dahulu.

Sudah hampir 2 bulan Laksamana pergi dan Wan Anum hanya mampu berdoa kepada doa demi keselamatan suami tercinta. Kandungannya semakin sarat. Tapi ada satu perkara yang membuatkan dia gelisah. Terlalu sukar hendak mendapatkan nangka kerana sekarang bukanlah musimnya berbuah, tapi itulah yang amat diidam-idamkan. Kecur tekaknya apabila mengenangkan ulas nangka yang manis tapi dimana hendak dicari? Awang, budak khadamnya itu sudah penat mencari, dari Kampung Bendahara ke Kampung Tembioh, dan seluruh Kampung Kelantan tempat tinggalnya itu masih tidak berjumpa. Setiap batang pokok nangka dibelek, usahkan buah, putik pun tiada.

Namun seakan harapan mula berputik bila terlihat Penghulu sedang mengusung sesuatu di bahu melintasi rumahnya. Dan ternyata ianya sebiji nangka yang sedang masak ranum dan luar biasa pula besarnya dalam perjalanan untuk dipersembahkan kepada Sultan. Wan Anum merayu untuk menjamah sedikit dari buah tersebut, seulas pun jadilah. Semata-mata untuk melepaskan rasa mengidam yang meluap-luap. Rasa simpati mencurah lalu diberikan seulas dari seluruh buah nangka tersebut. Tapi janji dibuat antara mereka berdua, jangan dibiarkan sesiapa yang lain tahu kelak badan binasa.

Malangnya Sultan Mahmud mencurigai akan buah nangka tersebut apabila terlihat akan kesan tebukan kecil pada kulitnya dan getah yang mengalir. Dan apabila dinyatakan angkara siapa, lalu Tun Bija Ali yang kebetulan berada bersama Sultan ketika itu sedar akan peluang ini tidak boleh dilepaskan. Dendam harus dilunas. Lalu dibisikkan kata hasutan, bahawa tindakan Wan Anum yang merasai nangka tersebut sebelum baginda ternyata membawa aib dan ternyata derhaka kepada baginda. Baginda Sultan yang termakan hasutan ternyata amat murka dan segera menitahkan Wan Anum mengadap. Wan Anum yang sedar keadaannya dirinya sedang terancam merayu kepada baginda bahawa tindakannya semata-mata kerana beliau sedang mengidam dan buah nangka yang dimakannya adalah kerana kehendak anak didalam kandungannya. Ternyata kata-katanya membawa padah! Sultan Mahmud menitahkan agar perut Wan Anum dibelah semata-mata untuk membuktikan dakwaannya! Tun Bija Ali amat gembira menerima titah tersebut, rahsianya akan terus berkubur, Wan Anum akan menerima padah dan dirinya akan terselamat.

Alangkah malang dan terseksa nasib Wan Anum, sembah rayu tidak dipandang oleh baginda....dan Wan Anum akhirnya terkulai, dengan kandungannya yang terburai. Tapi kuasa Allah Yang Maha Besar. Dakwaan Wan Anum ternyata benar, apabila terlihat oleh baginda dan Tun Bija Ali, terdapat cebisan nangka di mulut janin Wan Anum! Namun itu tidak membawa apa-apa kesan kepada Sultan Mahmud dan Tun Bija Ali, malah diperintahkan seluruh isi istana merahsiakan apa yang telah berlaku terutamanya dari pengetahuan Laksamana Megat Seri Rama.

Angkatan tentera Johor menang besar dengan berjaya mengalahkan lanun dan Laksamana Megat Seri Rama sudah tidak sabar benar hendak pulang ke Kota Tinggi untuk bertemu anak isteri yang pada jangkaannya tentu Wan Anum telah pun melahirkan zuriat mereka. Namun khabar mengatakan Wan Anum meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka meluluhkan jiwa laksamana tersebut. Terlalu kecewa dan pedih dihatinya. Pada suatu hari, sewaktu berjalan pulang dari kubur, hujan renyai turun memaksa laksamana itu mencari tempat perlindungan dan dia singgah berteduh dibawah bumbung sebuah rumah pekerja istana. terdengar olehnya akan perbualan suami isteri didalam rumah tersebut mengenai penganiayaan dan dilakukan oleh Sultan Mahmud keatas Wan Anum. Rasa amarah meluap-luap dan membara, membakar rasa dendam yang teramat sangat. Tambahan pula, Tun Aman sahabat baiknya membuka rahsia, yang semua ini angkara dari Tun Bija Ali! Lalu sebuah pakatan dibuat untuk menyelesaikan kedua binatang bedebah tersebut.





Tun Bija Ali seorang yang kaki perempuan, walaupun telah beristeri empat tapi masih menggilai perempuan lain, antaranya Tun Khatijah, kekanda Tun Aman. Dan peluang ini digunakan oleh Tun Aman untuk memerangkap Tun Bija Ali dan hasilnya, Tun Bija Ali berkubur ditengah hutan tanpa diketahui sesiapa! Tersenyum puas Laksamana Bentan kerana orang yang menjadi onar telah pun menerima akibatnya namun itu belum cukup...




Pada suatu malam Jumaat, diperasap diasam keris panjang dan keris pendua. Esok, bumi Kota Tinggi bakal menjadi bertuah, dimana ditanahnya akan melimpah darah seorang Raja. Menjelang tengahari, sewaktu penduduk Kota Tinggi berpusu-pusu menuju ke Masjid Besar untuk menunaikan solat Jumaat, hujan renyai panas membasahi bumi. Sultan Mahmud Syah sedang dijulang pengiring-pengiringnya dari atas tandu ke tangga istana. Dan tiba-tiba Laksamana Megat Seri Rama muncul, menghalang laluan baginda. Diatas julangan tersebut, baginda ditikam dirusuk kiri membuat baginda dan orang-orangnya terpana, terkejut dengan apa yang berlaku. Tetapi dalam keadaan nazak, Baginda mencabut keris kerajaan yang tersisip dipinggangnya, lalu dilontar ke kaki Laksamana, lantas memaku Laksamana itu kebumi, sambil melafazkan kalimah





"Jika benar beta Raja berdaulat, beta haramkan sebarang anak Bentan dan seluruh keturunannya memijak bumi Kota Tinggi, jika diingkar beta sumpah muntah darah hingga putuslah nyawa!"




Dan tak semena-mena, Laksamana yang sedang cuba mencabut keris dikakinya, memuntahkan darah yang membuak-buak lalu rebah dikaki tangga masjid. Sementara Sultan Mahmud Syah mangkat diatas julangan pengiringnya. Sejak dari peristiwa itu baginda yang merupakan keturunan Kesultanan Melaka yang terakhir, digelar orang Marhum Mangkat Dijulang dan tidak meninggalkan sebarang pewaris takhta. Manakala diceritakan orang, sumpahan baginda masih tegar dan keras dibumi Kota Tinggi, Johor. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Makam dan Laksamana Megat Seri Rama pula, dikebumikan bersebelahan dengan kubur isteri dan anaknya di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor.