Sunday 5 October 2014

punca perut boncit..!




Perut buncit memang tidak menyelesakan. Ia bukan sahaja membuatkan kita berasa cepat letih apabila melakukan pergerakan walaupun sekadar berjalan, perut yang buncit juga menjejaskan penampilan seseorang lantaran bentuk tubuh kelihatan tidak seimbang. Apakah sebab perut menjadi buncit?
Pakar kesihatan Dr. Selfie C. Rijal menjelaskan ada banyak faktor yang boleh menyebabkan perut menjadi buncit. Pertama, faktor keturunan.
“Faktor keturunan yang diwarisi daripada orang tua secara umumnya sukar dielakkan,” ujar Selfie.
Kedua ialah faktor penuaan. Dengan bertambahnya usia, penghasilan hormon dehidroepiandrosteron (DHEA) mulai berkurangan.  Hasil kajian oleh Harvard Women's Health Watch mendapati wujudnya kaitan antara penurunan hormon ini dengan peningkatan pengumpulan lemak di perut.
Faktor ketiga ialah makanan dan minuman tertentu.  Doktor lulusan Universiti Padjajaran itu menjelaskan gula dan alkohol terutamanya yang terkandung dalam bir, adalah musuh utama kerana ia boleh membuatkan otot menjadi kendur.
Daripada segi pemakanan, katanya alkohol amat berbahaya bagi tubuh.  Ini kerana alkohol mengandungi  kalori yang tinggi, sama seperti kalori dalam makanan berlemak.  Selain itu, meminum alkohol akan memaksa hati bekerja lebih keras untuk menyingkirkan alkohol dan pada masa sama proses menyaring gula akan tertangguh.
“Gula itu kemudiannya terpaksa disimpan dalam tubuh sebagai lemak.  Pada masa sama, alkohol juga  dapat meningkatkan nafsu makan,” ujar doktrr yang bertugas di Hospital Sari Asih, Tangerang, Banten itu.
Menurut Selfie, makanan segera juga boleh mengakibatkan perut menjadi buncit berikutan jumlah kalori dan lemaknya yang sangat tinggi. Tidak ketinggalan, susu. Jika yang diminum itu ialah susu berkalori tinggi, maka ia boleh menyumbang kepada kebuncitan perut. “Justeru sebaik- sebaiknya minumlah susu rendah kalori,” tegas beliau.
Penyebab keempat bagi perut buncit ialah tembakau. Ia boleh menjejaskan aktiviti penghadaman. Selfie berkata biasanya ketika merokok selepas makan, perut akan berasa kembung kerana penghadaman terganggu.
Penyebab kelima, stres.  Menurut Selfie, keadaan psikologi seseorang mampu mengganggu aktiviti semula jadi tubuh termasuklah sistem penghadamannya. Stres juga boleh mencetuskan rasa kenyang dan menimbulkan masalah pada keupayaan tubuh menyimpan lemak. Akibatnya, perut kelihatan lebih mengembang. “Untuk mengatasinya, belajarlah untuk lebih relaks serta bernafas secara perlahan dan mendalam,” jelas beliau.
Dalam pada itu Selfie mengingatkan bahawa golongan wanita yang biasanya lebih mudah dilanda stress, cenderung memiliki lemak berlebihan di perut, meski pun berat badannya normal.  Keadaan ini mungkin diakibatkan oleh kesan hormon stres kortisol yang membuatkan lemak terkumpul di sekitar perut.
Penyebab keenam mempunyai kaitan dengan perubahan hormon, terutamanya ketika menopaus. Keadaan ini menyebabkan pengeluaran hormon seks estrogen berkurangan sekali gus membawa kepada pengumpulan lemak pada perut. 
Tumpukan lemak yang tidak sekata boleh membuatkan orang yang bertubuh kecil, buncit perutnya. Sememangnya ia kelihatan amat tidak selesa.  Jelas Selfie, keadaan ini berpunca daripada pengambilan karbohidrat secara berlebihan seperti nasi dan makanan berasaskan tepung seperti mi, bihun dan ladu, dalam kuantiti yang banyak.  Akibatya, karbohidrat yang berlebihan akan disimpan dalam bentuk lemak terutamanya di perut, atau lebih tepatnya di rongga-rongga di antara organ dalam perut.
“Penumpukan lemak di perut juga menjadi petunjuk bahawa kurangnya aktiviti fizikal dan penurunan kadar metabolisme tubuh,” jelas Selfie.  Jelas beliau, “Faktor utama yang membawa kepada kebuncitan perut adalah gaya hidup dan iklan yang berleluasa di pelbagai media.”
Benarkah perut akan buncit apabila seseorang terus tidur selepas makan? “Ya, benar.  Perut akan menjadi buncit kerana proses penghadaman tidak dapat berfungsi dengan baik,” ujarnya. 
Begitu juga dengan minuman bersoda.  Minuman jenis ini boleh membuatkan perut menjadi kembung dan akhirnya membuncit. “Gelembung-gelembung udara dalam minuman berkarbonat boleh mengakibatkan perut buncit,”

jodoh ketentuan ALLAH


Saban hari sebagai manusia kita akan terfikir, siapakah yang bakal ditentukan oleh Allah SWT untuk menjadi permaisuri hidup kita. Siapakah bakal suami atau bakal isteri yang akan berkongsi hidup bersama selamanya. Walaupun kita tidak mengetahui siapakah insan istimewa tersebut, namun manusia yang lemah seperti kita tetap mempunyai ciri-ciri idaman untuk bakal pasangan kita bukan?
Terkadang Allah tentukan seseorang yang begitu hampir dengan kita sebagai jodoh, dan terkadang mungkin jauh dari pandangan mata kita. Ada juga yang bercinta, mungkin bertunang bahkan mungkin sampai berkahwin namun andai itu belum jodoh yang diberikan Allah sudah pasti akan ada ujian dan cabaran.
Mungkin andai tiada jodoh di waktu percintaan, tidak begitu menyakitnya berbanding cinta yang terputus di apabila telah sampai bertunang dan lebih-lebih lagi apabila sudah ke alam perkahwinan. Mungkin pada nilaian mata manusia itu adalah keputusan yang tidak munasabah dan tidak memikirkan hati orang lain. Sememangnya manusia perlu berusaha untuk membina kebahagiaan yang telah dibina atas dasar kasih sayang. Tetapi apa yang lebih penting kebahagian diri perlu diutamakan.
Dan Allah SWT menjadikan ini semua sebagai asbab untuk kita dipertemukan dengan jodoh kita. Sesuatu yang perlu difikirkan. Istilah ‘tiada jodoh’ jika kita sama-sama teliti sebenarnya terkandung dua 3 perkara penting yang perlu difahami:
1. Hikmah pengajaran
Kerana manusia tidak sepanjang masa melakukan keputusan dengan tepat dan betul. Maka kesilapan yang dilakukan sudah pasti akan menunjukkan hikmah terhadap apa yang telah dilakukan agar dapat menjadi panduan pada masa yang lain.
2. Asbab bertemu jodoh
Perpisahan dalam perhubungan berkemungkinan Allah akan menggantikan dengan insan yang lebih baik, walaupun pasangan yang sudah bersama kita, dapat kita rasakan adalah yang terbaik. Namun perpisahan juga mampu menjadi asbab untuk bertemu insan yang lebih baik dalam mencinta diri anda.
3. Takdir
Inilah yang menjadi kenyataan penting yang perlu dihadapi dengan hati yang lapang. Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah kehidupan yang perlu diterima. Mungkin anda pernah bercinta bagai nak rak, bertunang dan kemudian berkahwin untuk satu tempoh tertentu namun andai takdir Allah untuk berlaku perpisahan untuk pertemuan yang seterusnya maka hanya hati yang perlu menerima dengan redha.